10/27/2009

Amani belum mahu kahwin

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: MOHD. HATIM MAZLAN


MELIHAT kemesraan Sharifah Amani dengan pemuda Inggeris itu dan melihat kakaknya Sharifah Aleya sudah punya anak sendiri, membangkitkan tanggapan sesetengah pihak pelakon remaja ini bakal menyusul jejak kakak yang sulung.

Cantik, berkerjaya dan terkenal menjadi aset yang berharga buat dirinya. Bahkan sikapnya yang suka berdikari memperlihatkan dirinya lebih matang berbanding usia.

Ditanya tentang kahwin, sambil tersenyum manis, heroin filem Sepet ini mengakui masih belum memikirkan hal itu.

“Mungkin selagi tidak berjaya mencapai segala impian, selagi itulah saya tidak akan fikir soal kahwin.

“Saya mahu jadi pengarah filem yang menghasilkan filem-filem berkualiti. Buat masa sekarang saya banyak mempelajari perkara-perkara di belakang tabir, dan belajar menghasilkan skrip.

“Saya diasuh oleh pengarah yang sangat bagus dan berkualiti iaitu allahyarham Yasmin Ahmad. Jadi, saya tak mahu menghasilkan karya-karya yang hanya akan diketawakan kelak.

“Kalau boleh, biarlah saya jadi jutawan dahulu, barulah fikir fasal kahwin. Usia saya pun baru 23 tahun, masih muda untuk memikirkan perkara ini,” jelas Amani.

Belum mahu memikirkan soal hati, perasaan dan komitmen, Amani menolak tanggapan khalayak mengenai hubungan cinta dengan pemuda Inggeris bernama Gavin Stenhouse.

“Sebenarnya, saya tak suka bercerita tentang hal peribadi, bimbang ada orang yang tak suka.

“Tentang Gavin, memang kami berkawan sekarang. Tapi hubungan kami sekadar kawan biasa dan tidak lebih daripada itu.

“Saya kenal dia di lokasi filem Merong Mahawangsa. Dia pelakon manakala saya pula pembantu pengarah aksi lagak ngeri.

“Gavin baik. Mungkin kerana usia sebaya menyebabkan kami serasi berkawan. Kami berkongsi minat yang sama, dan kami boleh bercerita tentang apa sahaja,” cerita Amani mengenai kawan barunya itu.

Mewakili Yasmin Ahmad

Perginya pembikin filem terkenal, Yasmin Ahmad benar-benar memberi kesan yang mendalam buat diri Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, apatah lagi dia adalah pelakon kesayangan pengarah filem Rabun, Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime itu.

Malahan beberapa bulan sebelum Yasmin meninggal dunia,
mereka telah ke Jepun untuk perbincangan filem terbaru.

Biarpun Yasmin tidak sempat melaksanakan filem itu, Amani dan seluruh krew yang terlibat tidak berputus asa serta bersedia meneruskan cita-cita murni pengarah berkaliber itu.

“Insya-Allah, saya akan ke Jepun untuk menyiapkan projek terakhir arwah Yasmin. Pihak dari Jepun masih berminat untuk meneruskan karya arwah, biarpun beliau sudah tiada.

“Saya juga terima e-mel dan panggilan telefon daripada pengarah filem di sana untuk membincangkan tentang filem tersebut. Ini adalah projek terakhir arwah, jadi saya perlu menyempurnakannya.

“Selain tu, saya juga bersyukur kerana Muallaf akan ditayangkan di Malaysia pada tahun depan,” terangnya yang akan ke Bangkok, Taiwan dan beberapa buah negara lain untuk mewakili allahyarham Yasmin Ahmad di majlis anugerah.

Cahaya baru

Siapa yang tidak gembira dengan kehadiran kanak-kanak kecil di rumah mereka, begitu juga buat keluarga besar milik Cikgu Fatimah Abu Bakar. Bagi mereka, kelahiran Aza dan Asha, anak kepada Syarifah Aleeya dan suaminya, Ashraf benar-benar memberi cahaya baru dalam rumah mereka.

“Aleya adalah soulmate saya. Dia seorang yang gila-gila dan lasak. Tapi, bila saya lihat dia dengan anak-anak kembarnya, saya jadi geli hati, sebab dia terus berubah watak. Dia kelihatan sangat keibuan dan hilang terus sifat lasaknya.

“Keluarga saya memang suka buat bising di rumah tapi bila bertambah ahli keluarga baru, suasana menjadi lebih meriah. Masing-masing berebut nak dukung Aza dan Asha, malah semua bosan bila kedua-duanya tidur.

“Adik-adik saya sekarang ini memang ringan tulang, tak perlu disuruh, mereka dah tolong tukarkan lampin. Aza dan Asha sebenarnya membawa cahaya baru dalam keluarga kami,” katanya lagi mengakhiri perbualan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan