
TIDAK keterlaluan jika dikatakan, 12 bintang muda kelahiran program realiti lakonan, Pilih Kasih ini adalah barisan pelakon pelapis yang sudah berada pada kelas tersendiri untuk menyinari dunia lakonan tempatan.
Walaupun masih muda dan baru, kejayaan mereka menarik perhatian peminat menerusi program realiti terbitan Suhan Movies & Trading milik Rosyam Nor, boleh dianggap satu perkara yang cukup membanggakan.
Apa yang pasti, Pilih Kasih menjadi medan untuk Bea, Reza, Nabila, Diwan, Wanina, Khafie, Fiona, Iqbal, Emilie, Indera, Sofian dan Zulin menyerlahkan bakat sebenar mereka sebagai seorang pelakon.
Yang pasti, selama program itu berlangsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan, sentiasa mendapat sokongan padu peminat serta penyokong kuat para peserta.
Jom, ikuti apa kata lima peserta yang sering berada di tangga teratas:
Bea berpandangan jauh
Dia sering mendapat pujian khalayak kerana berjaya membawa setiap watak yang diberikan dengan baik.
“Saya menyertai program Pilih Kasih ini sebenarnya bukan untuk mengejar kemenangan atau hadiah yang disediakan. Harapan saya adalah untuk keluar sebagai pelakon yang mempunyai personaliti dan bakat yang tersendiri.
“Saya benar-benar mahu mewarnai lagi industri kita dan berharap akan berjaya mengharungi cabaran yang perlu ditempuhi untuk bergelar anak seni yang berjaya,” kata gadis yang lahir pada tanggal 25 Mei 1988.
Reza mahu jadi pelakon berilmu
“Saya mahu menjad pelakon yang bukan saja boleh berlakon, malah mempunyai ilmu yang mendalam dalam lakonan.
“Oleh itu, hati saya terdetik untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), agar menjadi seorang pelakon yang berilmu,” cerita jejaka kelahiran Taiping, Perak ini.
Nabila luka dan lebam kerana Pilih Kasih
“Luka dan lebam pada badan saya ini menunjukkan betapa sukarnya untuk seseorang itu bergelar pelakon.
“Saya tidak pernah menyesal menceburi bidang ini. Saya sanggup membuat apa saja asalkan hasil lakonan saya nanti adalah yang terbaik,” ujar Nabila yang bakal menginjak usia 18 tahun pada 27 September depan.
Diwan teruskan perjuangan
“Saya mahu khalayak mengenali saya kerana bakat lakonan, bukannya kerana saya peserta program Pilih Kasih.
“Selepas ini, saya akan terus berjuang dalam bidang ini dan akan terima apa saja tawaran yang boleh saya perolehi untuk menonjolkan bakat lakonan,” luah bekas tentera dari Kota Bharu, Kelantan ini.
Wanina dilamar Aziz M. Osman
“Waktu itu, Abang Aziz merupakan salah seorang juri dan dia ada menyatakan hasrat untuk mengambil saya berlakon dalam drama terbarunya nanti. “Tetapi, saya tidak boleh bercerita lanjut kerana perkara ini masih belum mencapai kata putus lagi.
“Saya yakin mampu memberi kelainan dalam industri lakonan dengan bakat yang ada untuk membawa pelbagai watak,” ujar gadis berusia 21 tahun ini.
Apa kata bintang Pilih Kasih yang lain?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan