8/07/2009

Pierre Andre sedang dilamun cinta

OLEH: WAHIDA OTHMAN

SIAPAKAH agaknya gadis jelita berkulit putih dan berambut panjang yang manja di sisi Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre?

Gadis itu dilihat keluar berdua-duaan dengan pelakon dan pengarah muda itu di sebuah pusat membeli- belah terkemuka seperti yang dilaporkan oleh seorang peminat dalam ruangan Hot Gossip di Majalah HAI, keluaran lepas.

Seakan sudah mengetahui tujuan HAI menghubunginya, tanpa berselindung, Pierre mengakui ketika ini dia sedang dilamun cinta.

“Saya mengaku, memang sudah berpunya. Saya tak mahu beritahu dengan siapa saya bercinta, sama ada masih dengan yang lama, atau saya dah bertemu dengan kekasih baru.

“Cukuplah sekadar orang tahu saya sudah berpunya dan sangat bahagia sekarang.

“Kehidupan yang saya lalui sekarang ini memang berlainan dengan apa yang pernah ditempuhi sebelum ini.

“Sekarang, saya sangat bahagia. Saya suka dengan keadaan ini kerana kehidupan saya lebih teratur dan sekarang saya dapat menilai diri saya sendiri.

“Memang saya ada perancangan untuk berkahwin. Tapi, masih juga kena tunggu dua, tiga tahun lagi untuk merealisasikannya,”cerita Pierre.

Perlu cinta

Tentang cinta, sememangnya lelaki ini menyimpan banyak kenangan cinta. Bermula kisah cintanya dengan pelakon Norliana Shamsuddin atau Yana, Pierre kemudiannya dikaitkan dengan beberapa artis lain, termasuk Julia Ziegler.

Namun, yang paling memberi kesan sangat mendalam dalam hidupnya, Pierre digosipkan bercinta dengan Maya Darina Dahlan Hain yang tidak diketahui sama ada benar-benar wujud ataupun sebaliknya.

Sejak peristiwa itu, Pierre terus berdiam diri. Tanggapan sesetengah pihak, mungkin dia sudah serik bercinta hingga sukar untuk bergaul dengan orang ramai.

“Saya tak pernah serik, terutamanya dengan cinta kerana bagi saya setiap orang memerlukan cinta.

“Sebabnya, tanpa cinta kehidupan kita seolah-olah macam sesat. Cuma, nak cari yang betul-betul faham tentang sikap dan perangai saya, itu yang payah.

“Ada kala, cerita lama buat saya rasa susah nak percaya pada sesiapa. Kadang-kadang saya takut, sebab saya sering saja terjumpa dengan orang yang salah.

“Tapi itu tak bermakna saya harus lari daripada berkawan dengan orang ramai. Saya seorang yang merendah diri. Saya masih Pierre Andre yang anda kenali dulu, “jelasnya.

Tidak sembunyi


Lama benar rasanya Pierre menyepikan diri selepas kontroversi yang melanda dirinya tidak lama dahulu.

“Saya tak menghilangkan diri, dan tidak juga cuba bersembunyi. Saya masih berada dalam industri ini, cuma saya rasakan lebih sesuai bekerja di belakang tabir.

“Saya juga tak takut kalau hilang populariti. Bagi saya, setiap ada kitaran hidup... ada masanya saya cukup dikenali dan ada masanya pula, saya patut hilangkan diri.

“Tak salah jika saya hilangkan diri sekejap, bagi memberi laluan pada bakat-bakat baru memulakan kerja sebagai artis,” ujarnya.

Faizal Tahir dan Agnes Monica dalam filem


Dalam bicara, ternyata Pierre tidak lokek berkongsi cerita mengenai projek terbarunya.

Katanya, filem berjudul Lepas Jangan Tinggalkan, kolaborasi Malaysia dan Indonesia, menggandingkan Faizal Tahir dan Agnes Monica.

“Saya pilih Faizal Tahir, kerana saya yakin dia mempunyai pengaruh dan pengikut tersendiri. Filem itu memang menjurus pada dirinya yang gemarkan muzik.

“Dia akan menjadi seorang remaja yang cintakan muzik tapi dalam masa yang sama dia mencintai seorang gadis satu kuliah dari Indonesia, lakonan Agnes Monica. Penggambaran akan dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri depan.

“Filem terbaru saya juga sedang ditayangkan di Indonesia, iaitu Krezy, Crazy, Krezy lakonan bersama Tora Sudiro, Vincent Club, dan Julia Ziegler.

“Filem ini juga bakal ditayangkan di Malaysia pada hujung tahun ini,” terang Pierre yang mengarahkan sebuah lagi filem seram berjudul, Suaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan