8/27/2009

CLOSE UP : TIZ ZAQYAH


Tiz Zaqyah buruan lelaki

BIARPUN hanya sekadar watak di dalam drama Nur Kasih di TV3 pada setiap hari Jumaat pukul 9.00 malam, ramai lelaki tertarik dengan karakter gadis bertudung ayu bernama Nur Amina yang bersopan santun dan patuh pada perintah ibu bapa.

Tidak kurang pula yang bersimpati dengan Nur Amina sehingga terasa ingin mengubati kekecewaan yang bersarang di dalam hati gadis itu.

Kerana watak Nur Amina, membuatkan pelakonnya, Tiz Zaqyah disangkakan benar-benar gadis bertudung. Kelembutan dan keayuan yang ditonjolkan melalui watak turut membuatkan pelakon remaja ini menjadi buruan lelaki.

Dia juga mula meraih perhatian peminat. Ada yang menganggap Tiz Zaqyah adalah pelakon baru kerana tidak ramai yang mengenalinya. Kebetulan, publisiti mengenainya hampir tiada sebelum ini.

Gadis yang mesra disapa Tiz, memulakan karier seni sejak tahun 2006.

“Saya lebih suka menyanyi, cuma tak pernah sertai mana-mana uji bakat.

“Ketika berada di tingkatan lima, saya suka-suka hadir uji bakat untuk drama Impian Ilyana dan diberi peluang memegang watak Kak Ika, kawan kepada Ilyana (lakonan Lydia Ibtisam).

“Biarpun wataknya tak besar, saya anggap ia proses belajar. Lagipun, saya pegang watak itu selama tiga musim drama Impian Ilyana,” katanya kepada HAI.

Ketagih berlakon


Telefilem pertama lakonannya ialah Bernafas Dalam Lumpur, arahan James Lee yang ditayangkan dalam slot Festival di NTV7. Drama lain ialah Seandainya Aku Siti pada tahun 2007 dan Puaka Topeng Putih.

“Sebaik selesai menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Serian, Sarawak pada tahun 2006, timbul perasaan untuk terus aktif dalam lakonan.

“Mulanya, saya kurang ambil tawaran berlakon sebabkan belum yakin. Selepas kerap berlakon, saya mula ketagih hingga saya terpaksa tangguh dulu menyambung pengajian.

“Keluarga pula tak menghalang, asalkan saya pandai menjaga diri,” ujar Tiz.

Banyak cakap

Ketika sedang menjalani kesinambungan drama Impian apda tahun lepas, seorang krew yang terlibat di dalam produksi itu menyarankannya agar mencuba nasib dalam uji bakat untuk drama Nur Kasih terbitan Filmscape.

“Sesi uji bakat pertama dinilai oleh orang lain. Pada sesi kali kedua, barulah dinilai oleh pengarahnya, Kabir Bhatia. Dia berikan peluang pada saya tampil dalam drama Incredible Tales berkisarkan tentang hantu, yang disiarkan di negara jiran.

“Selepas itu, barulah Kabir menghubungi saya untuk tawarkan watak dalam Nur Kasih. Ketika itu saya memang teragak-agak kerana wataknya berat. Tambahan pula, pelakon lain semuanya hebat.

“Kena pakai tudung bukan masalah kerana dalam drama Impian pun saya bertudung. Cuma karakternya benar-benar menguji dan mencabar. Semasa hari pertama penggambaran, saya dah kena menangis.

“Saya pernahlah menangis dalam drama Puaka Topeng Putih, tapi situasinya berlainan kerana tangisan itu akibat ketakutan. Tapi dalam Nur Kasih, tangisan saya adalah kerana menanggung penderitaan dalaman.

“Karakter sebenar saya tidak sama dengan Nur Amina. Kalau nak tahu, saya seorang yang banyak cakap, ceria dan suka menyakat orang lain.

“Semasa sesi baca skrip bersama para pelakon sebelum penggambaran dimulakan, saya sangat takut dengan Liza Othman kerana dia pelakon hebat. Tapi, jangkaan saya meleset kerana dia baik orangnya dan banyak menurunkan ilmu lakonan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Tiz mengakui para peminat hanya kenal dan sukakan Nur Amina, bukan dirinya yang sebenar. Itu tidak menjadi masalah buatnya kerana dengan cara itu, dia bebas bergerak tanpa bimbang gerak-geri diperhatikan.

“Tapi, tidak bermakna saya bebas berbuat apa saja dengan sesuka hati. Saya perlu menjaga nama baik daripada melakukan perkara negatif agar tidak dipandang serong oleh khalayak,” janji Tiz Zaqyah.


Nama penuh:Tiz Zaqyah Razak
Tarikh lahir:27 Oktober 1988
Asal:Kuala Lumpur
Berat:46 kiloggram
Tinggi:5 kaki 3 inci
Zodiak:Scorpio
Bilangan dalam keluarga: Anak bongsu daripada dua adik-beradik
Pendidikan:Sijil Pelajaran Malaysia

1 ulasan:

  1. urm...nur amina,nak jadi seperti dia. thanks tiz,u dah bawa watak ni ngan berjaya sekali, i like u too ^_^

    BalasPadam