7/15/2009

Liyana, Aizat bergaduh?

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: JEFFRI IRAN


LIYANA Jasmay sentiasa dilihat ceria, riang, lincah dan aktif. Mungkin kerana itulah dia disenangi oleh teman baiknya, Aizat Amdan.

Keletah manja pasangan penyanyi dan pelakon remaja itu sangat menghiburkan apabila digandingkan dalam satu fotografi.

Ada kalanya, gurauan manja mereka juga sering memecah kesunyian. Orang sekeliling tentunya berbisik dalam hati, bahagia sungguh mereka bercinta!

Namun, perkara-perkara indah sebegitu selalu saja tidak berpanjangan.

Mereka kini mengambil keputusan untuk tidak mahu digandingkan lagi. Entah apa silapnya, mereka lebih selesa jika tidak lagi dikaitkan. Sungguh mengejutkan! Mengapa?

Adakah mereka bergaduh?

“Saya tak mahu terlalu terdedah dengan perkara itu. Kalau boleh, kami mahu dikenali kerana diri sendiri, sebagai wanita dan lelaki yang berkarier.

“Kami saling menghormati, termasuklah dari segi kerja dan peminat. Yalah, tidak semua orang suka jika kami terlalu kerap bergambar bersama. Jadi, kami perlu menjaga hati orang lain walaupun ternyata sukar.

“Memang kami serasi sebab mempunyai minat yang sama dalam muzik.

“Walaupun tidak lagi mahu bergambar bersama, tapi alhamdulillah, kami tidak mengalami sebarang masalah.

“Cuma, kami jarang berjumpa sebab saya terlalu sibuk dengan penggambaran drama.

“Hubungan dengan keluarga kedua-dua belah pihak juga baik. Dan secara jujurnya, persahabatan kami memang tidak mempunyai sebarang masalah,”luah Liyana yang disapa LJ oleh teman-teman rapat.

Berlagak diva?

Tidak mudah sebenarnya menjadi seorang Liyana Jasmay. Walaupun kelihatan sentiasa gembira, seolah-olah tidak pernah mengalami masalah, hakikatnya, dia juga tidak terlepas daripada cemuhan dan kritikan khalayak.

Paling panas, kini Liyana dikatakan sudah mula buat perangai. Bermasalah di lokasi dan sudah menunjukkan tanda-tanda persis seorang ‘diva’.

Tidak terus melatah dengan gosip-gosip sedemikian, Liyana mengakui dirinya sangat komited sebagai pelakon dan penyanyi.

“Jika mereka kata saya ‘diva’, jelaskan dari segi apa yang mereka lihat saya cuba berlagak diva? Jika dari segi kerja, saya bukan diva, tapi saya hanya terlalu teliti.

“Saya mahukan yang terbaik dalam setiap bidang yang diceburi. Tapi saya tak pernah marah orang, apatah lagi menengking.

“Bila nama dah semakin naik, tentu ada saja orang dengki. Kalaupun hanya ada sepuluh orang dalam dunia ini, tak mungkin kesemuanya menyukai kita.

“Itu hal yang kita tak boleh halang. Tetapi, saya ambil positif daripada setiap pandangan orang.

“Ini kerja kita, mereka suka ataupun tidak, kita perlu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” ujar Liyana.

Sibuk

Menurut Liyana, dia perlu membahagikan masa di antara lakonan dan nyanyian.

“Sekarang, saya sibuk di lokasi Niyang Rapik The Movie. Saya juga tengah uruskan beberapa perkara tentang album penuh yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Menyanyi dan berlakon, adalah dua cabang karier yang punya cabaran berbeza.

“Lakonan memerlukan saya membawa karakter berlainan dan saya bawa karakter diri sendiri apabila menyanyi,” jelas Liyana yang kembali menghangatkan pawagam menerusi filem Papadom, Duhai Si Pari-pari dan Pisau Cukur pada akhir tahun ini.

1 ulasan: