6/28/2009

Kekasih Noh (Hujan) masih merajuk?


TEKS & FOTO : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN

BAGI para pengikut band Hujan yang bergelar Raingers, Hujan merupakan aset yang paling mereka hargai. Bagi mereka, tiada band lain yang lebih hebat selain Hujan.

Baru-baru ini, HAI diundang menyertai majlis 'Gathering Raingers bersama Hujan' yang diadakan khas oleh Raingers untuk mengeratkan lagi hubungan dengan band yang kini popular dengan lagu Kotak Hati.

Sebelum ini, vokalisnya, Mohammad Noh Salleh atau Noh ada memberitahu HAI bahawa kekasihnya Athira Abdul Ghanie (Tya) turut serta dalam majlis tersebut.

Teruja mendengar khabar itu, HAI menanti dengan penuh sabar untuk mengenali gadis cantik yang telah berjaya memikat hati jejaka dari Sarawak itu.

Namun, kelibat Tya yang dinanti-nantikan tidak juga kunjung tiba hingga majlis tamat. Adakah Tya masih merajuk dengan Noh?


Yalah, sebelum ini Noh ada memberitahu bahawa Tya merajuk selepas mendengar cerita panas tentang dirinya dengan pelakon janda Nora Danish.

“Sebenarnya, Tya tak dapat hadir kerana ada urusan dengan keluarganya. Bukan sebab dia masih merajuk atau marah pasal gosip itu.

“Sebenarnya, hubungan kami masih baik, sama seperti sebelum ini. Gosip itu sedikit pun tidak menjejaskan hubungan yang kami bina sekian lama,” cerita Noh ringkas.

Meriah


Hampir 200 ahli Raingers telah hadir membanjiri Itudio Studio, Kelana Mall, Petaling Jaya demi meraikan band indie yang mereka kagumi.


Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh beberapa band indie lain.

Band Stone Bay membuka tirai persembahan, diikuti oleh band Joanna & Co., penyanyi indie solo, Jayzuan, Coco dan Bliz.


Suasana bertambah gamat apabila Hujan mengambil alih pentas dan terus mengasak kehangatan dengan mempersembahkan sepuluh buah lagu daripada album pertama mereka.


Jelas terpancar kegembiraan dan kepuasan pada raut wajah Raingers.

“Sambutan yang diberikan oleh Raingers memang tidak terkata. Meriah sangat. Kami gembira sekali.


“Majlis ini merupakan hadiah paling bermakna buat Hujan oleh Raingers. Selain itu, majlis ini bukan saja mengeratkan hubungan Hujan bersama Raingers, malah dapat juga menguatkan lagi hubungan sesama Raingers.


“Walaupun kami sering dilanda kontroversi dan pelbagai dugaan di dalam industri, Raingers tetap kukuh menyokong kami. Terima kasih Raingers!,” kata Noh mewakili teman-temannya dalam Hujan.


Ikut kata Raingers

Tanpa peminat, barangkali kumpulan indie popular tanah air yang dianggotai oleh Noh (vokal), AG (gitar), Jaja (bes), Ambobzeela (dram) dan Dimas (keyboard) ini pasti tidak berada pada tahap yang mereka kecapi sekarang.


Setelah kejayaan album pertama, Hujan bakal tampil dengan album kedua tidak lama lagi.


“Album pertama dulu merupakan album kompilasi daripada EP dan lagu-lagu kami yang lama. Album baru ini nanti lebih segar dan agresif dengan lagu-lagu yang baru.

“Insya-Allah, album kedua yang memuatkan sebanyak lapan buah lagu itu bakal dipasarkan tidak lama lagi.


“Sebelum ini, kami telah menyediakan empat lagu iaitu Mencari Konklusi, Besi Sangkar Di Hatiku, Obsesi dan Romantik yang akan dijadikan single terbaru Hujan.


“Tetapi, kami tidak pasti untuk memilih lagu mana untuk dijadikan single terbaru kami. Setelah meminta pendapat Raingers, kami akhirnya mengambil keputusan memilih lagu Mencari Konklusi sebagai single terbaru kami.


“Tujuan kami mengadakan undian ini adalah untuk Raingers terlibat sama dengan album ini dan lebih berasa dekat dengan Hujan,” ujar Noh.


Pembaca HAI yang berminat untuk menyertai kelab peminat Hujan – Raingers, boleh layari portal rasmi Raingers di
http://www.hujan.org/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan