OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: ZAKARIA IDRIS
WANITA bernama Siti Elizad Sharifudin, 24, mula dikenali khalayak menerusi filem Berlari Ke Langit. Kemudiannya, dia diberi watak lebih mencabar dalam filem Gangster.
Lain-lain filem lakonannya, Rock dan Cinta Nan Satu.
Namun, belum sempat wajah dan namanya melekat di hati peminat, wanita ini senyap, bagaikan menghilangkan diri.
Hairan sungguh dengan sikapnya, kerana setiap artis perlukan populariti sebagai landasan untuk terus wujud dalam bidang seni.
Siti Elizad mengambil pendekatan berbeza, mengelak daripada bergelar pelakon popular.
“Saya tak kisah kalau tidak glamor. Saya memang tak nak popular. Walaupun sudah membintangi empat buah filem, saya tak pernah cuba menonjolkan diri pada khalayak.
“Awalnya, saya menceburi dunia seni untuk mencapai cita-cita sebagai penyanyi. Tetapi rezeki dalam lakonan pula.
“Walau bagaimanapun saya tak putus asa mencuba jadi penyanyi. Lagu single pertama saya akan keluar selepas raya nanti, dan saya memilih konsep pop untuk percubaan pertama itu,” ceritanya.
Belum kahwin
Siti Elizad ditemui HAI dalam satu majlis anjuran MSP Productions bagi memperkenalkan barisan pelakon filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang di ibu kota, baru-baru ini.
Dari sisi lain, wanita ini pernah diulit kontroversi apabila ada pihak mengatakan dia sudah berkahwin dan mempunyai anak.
Menyangkal gosip panas itu, pelakon muda ini memberitahu HAI dia masih belum sedia berkahwin lantaran memikul tanggungjawab menjaga ibunya yang sakit.
“Dulu orang pernah gosipkan saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, padahal yang sebenarnya budak itu adalah anak abang saya. Saya memang suka dengannya dan kerap membawanya ke mana saja.
“Memandangkan ibu kurang sihat, lebih elok saya tumpu perhatian pada kerjaya dan menjaga ibu.
“Lagipun, tidak mudah temui lelaki yang benar-benar jujur menyayangi serta memahami saya,” ujarnya yang turut pernah membintangi beberapa buah drama seperti Impak Maksima, Ixora dan La Dolce Amira.
10/27/2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan