8/27/2009

APA KHABAR : SEVENTEEN


Lelaki-lelaki hebat Seventeen

MEMBUKA langkah bagi meluaskan nama di negara luar bukanlah satu perkara yang mudah.

Peluang untuk berjaya adalah begitu tipis, apatah lagi perlu bersaing dengan band-band tempatan yang semakin mendapat tempat di hati peminat.

Namun, bagi band yang dianggotai oleh Riefian Farajrsyah atau Ifan (vokalis), Yudhi Rus Haryanto atau Yudi (gitar), Herman Sikumbang atau Herman (gitar), M. Awal Purbani atau Bani (bes) dan Windu Andi Darmawan atau Andi (dram), bakat yang ada serta hasil karya mereka yang begitu unik telah berjaya mencuri perhatian peminat di Malaysia.

Band bernama Seventeen dari Indonesia ini ditubuhkan pada 17 Januari 1999.

“Setiap band pasti punya impian melebarkan sayap ke luar negara. Kami juga mahu hasil karya Seventeen dinikmati di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, Malaysia merupakan negara tetangga yang harus disinggahi terlebih dahulu sebelum ke peringkat antarabangsa.

“Kami rasa sangat bersyukur apabila cita-cita kami untuk memasuki pasaran muzik Malaysia akhirnya menjadi kenyataan.

“Tujuan kami bermain muzik bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana band di Indonesia ataupun Malaysia. Bagi kami, setiap band sama bagus dan mempunyai kelebihan tersendiri.

“Kami tidak pernah mengalah kerana kami percaya, dengan komitmen, kami pasti akan kekal dan bisa bertahan sebagai sebuah band untuk terus menghasilkan lebih banyak karya terbaik,” kata Ifan.

Popular


Lagu Slalu Mengalah daripada Seventeen kini sedang popular dan menjadi siulan anak-anak muda yang mengagumi muzik mereka.

Dek lagu tersebut yang dimuatkan dalam album ketiga mereka berjudul Lelaki Hebat, mereka kini dibuai populariti dan semakin dikenali khalayak tempatan.


“Alhamdulillah, single pertama kami ini berjaya mendapat tempat di hati peminat Malaysia. Banyak komen positif yang kami terima.

“Cerita yang terkandung dalam lagu Slalu Mengalah itu sebenarnya kisah benar tentang percintaan Ifan yang sering berhadapan dengan masalah kerana dia harus selalu mengalah dengan pasangannya.

“Merasakan kisah itu amat menarik dan mempunyai mesej tersendiri, Herman telah menjadikannya sebagai sebuah lagu,” cerita Yudi pula.

Tidak kejar anugerah

Pastinya setiap band yang semakin popular akan mengimpikan memiliki trofi anugerah yang mengiktiraf hasil karya mereka sebagai anak seni.

Namun, Seventeen tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah diberikan kepada mereka.

“Seventeen belum berpeluang memenangi apa-apa anugerah setakat ini. Kami hanya berjaya mendapat nominasi di beberapa majlis anugerah sahaja.

“Kami tidak sedih atau kecewa kerana kami berkarya bukannya untuk mengejar sebarang anugerah. Bagi kami, sebuah anugerah itu bukanlah pengukur kejayaan kami bermuzik.

“Apa yang penting adalah mesej dan perasaan yang ingin kami sampaikan menerusi lagu agar terus diingati peminat,” ujar band yang bakal muncul dengan single khas sempena sambutan Ramadan berjudul Ramadhan Nan Gemilang, tidak lama lagi.

Bagi pembaca HAI yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang band ini, layari laman Facebook di http://www.facebook.com/pages/Seventeen/67399563390

Tiada ulasan:

Catat Ulasan