8/27/2009

TOP 12 finalis Pilih Kasih



TIDAK keterlaluan jika dikatakan, 12 bintang muda kelahiran program realiti lakonan, Pilih Kasih ini adalah barisan pelakon pelapis yang sudah berada pada kelas tersendiri untuk menyinari dunia lakonan tempatan.

Walaupun masih muda dan baru, kejayaan mereka menarik perhatian peminat menerusi program realiti terbitan Suhan Movies & Trading milik Rosyam Nor, boleh dianggap satu perkara yang cukup membanggakan.

Apa yang pasti, Pilih Kasih menjadi medan untuk Bea, Reza, Nabila, Diwan, Wanina, Khafie, Fiona, Iqbal, Emilie, Indera, Sofian dan Zulin menyerlahkan bakat sebenar mereka sebagai seorang pelakon.

Yang pasti, selama program itu berlangsung dari Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan, sentiasa mendapat sokongan padu peminat serta penyokong kuat para peserta.


Jom, ikuti apa kata lima peserta yang sering berada di tangga teratas:


Bea berpandangan jauh
GADIS cantik bernama Rabiatul Balqis Rameshan atau Bea, 21, semakin mencapai tahap terbaik dalam lakonan sejak menyertai Pilih Kasih.

Dia sering mendapat pujian khalayak kerana berjaya membawa setiap watak yang diberikan dengan baik.


“Saya menyertai program Pilih Kasih ini sebenarnya bukan untuk mengejar kemenangan atau hadiah yang disediakan. Harapan saya adalah untuk keluar sebagai pelakon yang mempunyai personaliti dan bakat yang tersendiri.


“Saya benar-benar mahu mewarnai lagi industri kita dan berharap akan berjaya mengharungi cabaran yang perlu ditempuhi untuk bergelar anak seni yang berjaya,” kata gadis yang lahir pada tanggal 25 Mei 1988.


Reza mahu jadi pelakon berilmu
ANAK muda bernama Mohamad Ridzuan Hasbullah, 20, berbeza dengan teman-teman yang lain. Dia mahu menambah ilmu di dada terlebih dahulu sebelum meneruskan perjuangan bergelar anak seni.

“Saya mahu menjad pelakon yang bukan saja boleh berlakon, malah mempunyai ilmu yang mendalam dalam lakonan.


“Oleh itu, hati saya terdetik untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), agar menjadi seorang pelakon yang berilmu,” cerita jejaka kelahiran Taiping, Perak ini.


Nabila luka dan lebam kerana Pilih Kasih
SEMASA menemui gadis bernama Nabilah Ali Dally, badan anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini penuh dengan kesan luka dan lebam.

“Luka dan lebam pada badan saya ini menunjukkan betapa sukarnya untuk seseorang itu bergelar pelakon.


“Saya tidak pernah menyesal menceburi bidang ini. Saya sanggup membuat apa saja asalkan hasil lakonan saya nanti adalah yang terbaik,” ujar Nabila yang bakal menginjak usia 18 tahun pada 27 September depan.


Diwan teruskan perjuangan
SEPERTI peserta lain, empunya nama Mohamad Redzuan Rosli (Diwan Nawi), 19, turut menanam hasrat untuk bergelar anak seni yang berjaya.

“Saya mahu khalayak mengenali saya kerana bakat lakonan, bukannya kerana saya peserta program Pilih Kasih.


“Selepas ini, saya akan terus berjuang dalam bidang ini dan akan terima apa saja tawaran yang boleh saya perolehi untuk menonjolkan bakat lakonan,” luah bekas tentera dari Kota Bharu, Kelantan ini.


Wanina dilamar Aziz M. Osman
REZEKI Nur Raihan Mat Zaki (Wanina) dalam bidang lakonan nampaknya cerah. Anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini cukup bertuah apabila bakatnya telah berjaya menarik perhatian pengarah terkenal, Aziz M. Osman.

“Waktu itu, Abang Aziz merupakan salah seorang juri dan dia ada menyatakan hasrat untuk mengambil saya berlakon dalam drama terbarunya nanti.
“Tetapi, saya tidak boleh bercerita lanjut kerana perkara ini masih belum mencapai kata putus lagi.

“Saya yakin mampu memberi kelainan dalam industri lakonan dengan bakat yang ada untuk membawa pelbagai watak,” ujar gadis berusia 21 tahun ini.



Apa kata bintang Pilih Kasih yang lain?


Puteri Emelia Norfarihin Mohd. Hanif (Emilie Hanif), 19, dari Ipoh, Perak: “Semestinya, saya mahu pergi lebih jauh dan mencipta nama dalam industri lakonan. Jika diberi peluang, saya mahu menonjolkan lagi bakat yang ada.”


Laurendia Fiona Benard (Fiona Benard), 21, dari Kota Kinabalu, Sabah: “Saya tidak mahu masuk ke dalam industri dan terus menyepi begitu saja. Selepas ini, saya akan menyambung kembali pengajian yang tertangguh dan selepas itu barulah saya akan pertimbangkan untuk meneruskan kerjaya lakonan.”


Farah Azleenda Abdul Aziz (Zulin Aziz), 20, dari Kuala Lumpur: “Saya ingin mengubah persepsi bahawa pelakon yang kurang menarik dari segi fizikal juga boleh berjaya dalam lakonan. Saya akan gunakan segala ilmu semasa di Pilih Kasih untuk meningkatkan mutu lakonan.”


Mohd Saqafi Jubar (Khafie), 24, dari Kota Kinabalu, Sabah: “Selepas ini, saya akan menumpukan perhatian pada bidang lakonan, sama seperti arwah bapa saya kerana ini merupakan permintaan arwah sebelum meninggal dunia.”


Muhammad Iqbal Mazlan (Iqbal), 20, dari Kuala Lumpur: “Saya ingin membuktikan bahawa saya seorang pelakon yang versatil dan bukan hanya mampu membawa watak romantik saja. Jika diberi peluang, saya mahu cuba apa saja watak yang lebih mencabar.”


Abdul Hafiz Abdul Alim (Indera Hafiz), 25, dari Pulau Pinang: “Selepas ini, saya akan mencuba apa saja peluang yang ada untuk bergelar seorang pelakon. Tidak kisah walaupun peranannya kecil, saya akan melakukan yang terbaik dengan bakat yang Tuhan anugerahkan.”


Mohamad Sofian Bujang (Sofian), 24, dari Kuching, Sarawak: “Industri kita kekurangan pelakon yang boleh melakonkan pelbagai watak. Saya ingin menunjukkan kepada masyarakat di luar bahawa produk kelahiran Pilih Kasih adalah pelakon yang versatile.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan