8/27/2009
Scha kahwin lari di Indonesia kerana Hujan
OLEH : TAJUL ARIFFIN ABU HASSAN
FOTO: CHANNEL [V]
ITU hanya sekadar tajuk. Namun, nampak macam real kan adegan Scha Alyahya melarikan diri untuk kahwin lari dengan kekasihnya, lakonan aktor hebat Indonesia, Fauzi Baadilla.
Bukannya pelakon cantik itu benar-benar kahwin lari di negara seberang. Tetapi itu hanyalah watak yang perlu dilakonkan bersama Fauzi di dalam klip- video Mencari Konklusi, nyanyian band indie terkemuka tanah air, Hujan.
Klip-video arahan Azhar T. Pangesti yang diterbitkan oleh produksi Rumah Media itu merupakan hasil kerjasama Hujan bersama Channel [V] yang dirakamkan di sekitar Bandung, Indonesia.
Noh memberitahu HAI bahawa pemilihan lokasi dan pengarah merupakan idea dan perancangan pemain keyboard mereka, Dimas.
“Alang-alang kami ke Indonesia untuk menghadiri APM, kami gunakan kesempatan itu untuk merakamkan klip-video single terbaru Hujan.
“Azhar merupakan pilihan Dimas kerana dia dan Azhar serta produksi Rumah Media begitu rapat sewaktu zaman persekolahan dulu.
“Kami juga senang bekerja dengan Azhar kerana sebelum ini kami pernah berkerjasama dengannya untuk klip-video lagu Dugaannya.
“Kami memang mencari seorang pelakon wanita yang berbakat dan juga lasak untuk klip-video tersebut. Hampir 80 peratus babak dalam klip-video itu melibatkan aksi kejar-mengejar yang memerlukan pelakon berlari.
“Sebelum memilih Scha, kami mempunyai beberapa calon lain seperti Diana Danielle dan Nora Danish.
“Disebabkan jadual Diana Danielle yang padat dan Nora Danish yang tidak boleh mengikut kehendak jalan cerita yang banyak berlari, kami akhirnya buntu dan meminta pendapat kelab peminat kami iaitu Raingers.
“Raingers mencadangkan Scha berdasarkan bakat dan kelasakannya. Kami akhirnya sebulat suara memilih Scha sebagai pelakon dalam klip-video tersebut,” kata Noh.
Nyaris kena bom
Kejadian letupan bom di hotel JW Marriott dan hotel Ritz-Carlton di Jakarta, Indonesia pada 17 Julai lalu telah menggemparkan seluruh dunia.
Tempias kejadian itu turut dirasai oleh Hujan yang berangkat ke negara seberang untuk rakaman klip-video terbaru mereka serta menghadiri Anugerah Planet Muzik (APM) 2009.
Band yang dianggotai oleh oleh Noh (vokalis), AG (gitar), Jaja (bes), Ambobzeela (dram) dan Dimas (keyboard), cukup bernasib baik kerana terselamat daripada serangan bom tersebut kerana mereka sepatutnya menginap di hotel Ritz-Carlton semasa berada di sana.
“Sepatutnya, kami menginap di hotel tersebut kerana ikut perancangan asal, lokasi penggambaran klip- video dilakukan di sekitar Jakarta.
“Akan tetapi, lokasi klip-video kami telah ditukar ke Bandung kerana Dimas telah berjaya mendapat kebenaran menggunakan gerabak kereta api di sana.
“Kami rasa amat bersyukur kerana tidak berada di hotel tersebut pada hari kejadian. Memang kami berasa amat terkejut apabila mendengar berita tentang letupan itu,” cerita Noh.
Kecewa di APM
Khabarnya, Hujan tidak berpuas hati semasa di APM 2009 baru-baru ini. Bukannya kecewa atau sedih kerana tidak berjaya meraih sebarang anugerah. Tetapi band yang semakin melonjak naik ini begitu kecewa dengan layanan dan perjalanan majlis tersebut.
“Sesi latihan dan perjalanan majlis yang kurang memuaskan membuatkan kami memang tidak berpuas hati di sana.
“Selain itu, kami tidak diberitahu oleh pihak penganjur agar membawa alat muzik sendiri untuk persembahan di sana seperti band-band Indonesia yang lain.
“Mungkin perkara ini sudah biasa di sana. Tetapi kami memang tidak biasa dengan cara mereka.
“Sepatutnya pihak penganjur memberitahu lebih awal agar kami bawa peralatan sendiri. Kalau diikutkan, kami memang lebih suka bawa alat muzik sendiri berbanding menggunakan peralatan yang disediakan.
“Kami sangat kecewa kerana ini merupakan peluang besar untuk lebih menonjol disana. Tetapi, disebabkan perkara itulah persembahan kami pada malam itu begitu hambar sekali,” cerita Noh mewakili teman-temannya dalam Hujan.
Bagi peminat Hujan yang ingin menyaksikan klip-video Mencari Konklusi, pastikan anda tidak melepaskan peluang menyaksikannya di Channel [V] (astro saluran 714) yang mula disiarkan sejak 14 Ogos lalu dan akan berterusan sehingga hujung bulan ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan