7/15/2009

SCHA kecil hati dengan Linda Onn?

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: SHAHRIL AZMAN ZAIN


USIA penglibatannya di dalam bidang seni tidaklah terlalu lama. Belum ada sebarang anugerah yang berada dalam genggamannya.

Namun, populariti dan perhatian yang diraih ketika ini, sungguh besar sekali.

Sama seperti artis-artis lain, pelakon dan pengacara yang semakin meningkat naik Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, tidak terlepas daripada himpitan gosip-gosip panas.

Jika di awal kemunculannya, pelakon yang mahu dikenali sebagai Scha itu sering berteka-teki mengenai hubungan cinta dengan Fahrin Ahmad, kini khalayak sudah diberikan jawapan sebenar.

Namun, tidak hanya selesai di situ, pemeran utama drama Awan Dania itu, khabarnya bermasam muka dan ‘perang dingin’ dengan Linda Onn, yang pernah intim dengan kekasihnya sekarang.

Kisah bertambah panas apabila kononnya, ada di antara mereka menolak pelawaan wartawan yang mahu mengambil gambar mereka berdua di sebuah majlis, baru-bari ini.

“Kalau fasal benda itu, memang saya tak boleh nak komen. Sebab, masalah itu timbul bukan daripada pihak saya.

“Saya seorang yang berfikiran terbuka, ramah dengan semua orang dan tiada masalah dengan sesiapa.

“Ada kalanya saya pun tak faham apa yang berlaku sebenarnya? Kenapa kami seakan bermusuh, sedangkan saya tak mengganggu hubungan mereka dulu.

“Saya tak pernah bertanya pada Fahrin tentang hubungannya sebelum ini. Bagi saya apa yang lepas, biarkan berlalu, tak perlu diungkit. Mungkin mereka ada alasan sendiri mengapa tidak boleh berbaik.

“Yalah perempuan... ada kalanya kita sendiri tak mampu nak kawal diri kita.

“Mungkin ada sesuatu yang dia tak suka, membuatkan dia tak boleh menerima kami.

“Tapi bagi pihak saya, memang tak ada masalah,” jelas Scha.


Linda tak kenal Scha?


Mengenai perkara yang sama, Linda juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak kenal Scha dan tidak pernah melihat sebarang lakonan yang dilakonkan oleh gadis nakal ini.

Walaupun agak pahit untuk ditelan, namun Scha memberitahu HAI, menerima kenyataan itu dari sudut yang positif.

“Semua orang mengenali Linda Onn. Dia sudah lama di dalam bidang ini dan dia juga seorang yang popular. Jadi, sudah tentu dia sentiasa sibuk.

“Dan kerana kesibukannya itu jugalah, mungkin dia tidak mempunyai banyak masa untuk menonton televisyen.

“Saya tidak berkecil hati jika ada yang masih belum mengenali saya. Lagipun, saya masih baru di dalam industri seni.

“Sebolehnya, saya cuba memperkenalkan diri kepada semua orang setiap kali menyertai majlis yang dihadiri oleh ramai artis senior,” ujar Scha yang pernah memperkenalkan dirinya pada Linda sewaktu menjayakan satu majlis amal tidak lama dulu.


Usung Fahrin


Seperti pasangan kekasih lain, Scha dan Fahrin kini sudah mula tampil bersama di majlis rasmi hiburan.

“Tidak semua majlis kami datang bersama. Cara saya dengan cara dia adalah berbeza.

“Saya jenis simple. Kalau ada majlis yang mengundang kami berdua, kami akan datang bersama. Tetapi jika tidak, cukuplah jika seorang saja yang pergi.

“Kami belum merancang tentang perkahwinan. Mungkin sebab kami masih sibuk dengan kerjaya masing-masing,”katanya lagi.

1 ulasan: