7/15/2009

Linda Onn minta maaf pada Scha

OLEH: WAHIDA OTHMAN
FOTO: SHAHRIL AZMAN ZAIN



BERSALAHKAH Linda Onn jika berkata benar, tidak begitu mengenali Scha Alyahya?

‘Berdosakah’ dia jika tidak mahu berkongsi satu lensa yang sama dengan pelakon yang sedang naik daun itu?

Bersalah atau tidak, itu pendirian Linda. Sebagai seorang wanita yang menimbun ilmu dan pengalaman, dia yakin dengan apa yang dilakukan.

Kisah lalu akan dibiarkan pergi, tapi pengajaran yang tinggal akan terus berada di ingatan.

Niatnya bukan untuk menyinggung perasaan Scha, tetapi sebolehnya, dia tidak mahu lagi mempunyai kaitan dengan seseorang yang pernah mengisi sejarah hidupnya dulu.

“Saya dan Scha tidak ada apa-apa masalah. Kami tidak pernah berbual. Saya tak berniat untuk melukakan hati sesiapa. Saya minta maaf jika Scha terasa atau berkecil hati.

“Bukan tak mahu bergambar dengannya, tapi sekarang Scha ada kaitan dengan masa lampau saya.

“Saya tak mahu ada cakap-cakap belakang oleh pihak-pihak tertentu, kerana nanti isu yang lama pasti akan timbul kembali.

“Biarlah orang menyalahkan saya, daripada saya memberitahu umum tentang aib orang lain yang akhirnya membawa penyesalan pada diri saya sendiri kelak,”luah Linda.

Teman baru


Walaupun Linda masih belum membuat sebarang kenyataan tentang cinta barunya, namun, penyampai radio popular ini nampaknya tidak pernah bersendirian ke majlis-majlis hiburan.

Hanya kerana itu, ramai yang menganggap kononnya Linda sengaja membawa teman agar tidak dilihat berseorangan tanpa insan bergelar lelaki.

“Saya memang suka berteman dan benci kesunyian. Saya pasti akan membawa teman jika pergi ke mana-mana majlis, tidak kiralah lelaki ataupun perempuan.

“Masalahnya, jika saya bawa teman perempuan, tiada siapa yang peduli. Tapi bila lelaki, semua orang seperti terkejut.

“Salleh adalah kenalan baru saya. Kami baru saja berkenalan sebulan lepas. Saya pelawa dia ke majlis ini (Parti Selebriti Kosmo) dan dia tidak menolak.

“Setakat ini saya suka berkawan dengannya sebab dia bukan seperti lelaki-lelaki lain. Dia tak ada nak kontrol-kontrol, tak cakap kasar, dan dari gayanya saya tahu dia bukan jenis yang ‘angkat tangan’ pada perempuan.

“Saya belajar banyak perkara, dan sekarang ini saya tidak mahu terlalu ‘jatuh cinta’ terhadap sesuatu benda yang baru.

“Tak kiralah tentang cinta ataupun kerjaya, kerana jika ia hilang, saya akan terasa amat pedih sekali,” terang Linda yang yakin kisah lampaunya itu banyak mengajarnya tentang seorang lelaki.

Penyumbang peningkatan Sinar FM

Penghijrahan Linda ke Sinar FM ternyata tidak sia-sia kerana kini stesen radio swasta itu menduduki rangking kedua dalam carta radio paling popular.

Ramai yang mengandaikan, Linda adalah punca utama dan penyumbang pada peningkatan peratusan radio itu menjadi pilihan ramai.

“Mungkin ini secara kebetulan. Ini adalah hadiah buat semua penyampai yang telah bekerja keras selama ini. Terima kasih pada mereka yang banyak menyokong kami selama ini.

“Terbalas rasanya rasa pedih dan kesal yang saya hadapi semasa mula-mula dipindahkan ke sini. Banyak peminat yang berjanji akan menyokong walau di mana stesen radio saya bertugas, dan kerana itu jugalah saya menjadi kuat untuk terus bekerja di sini.

“Dari sudut lagu, saya akui memang sedikit ketinggalan. Memang tak ada kepuasan dari segi lagu, kerana saya merupakan peminat muzik rap dan urban.

“Bila di Sinar FM, ada kalanya saya terpaksa memasang lagu-lagu yang saya sendiri tak pernah dengar sebelum ini.

“Tapi demi peminat yang setia, saya menerimanya dengan hati tenang dan terbuka,” ujar Linda yang bakal mengendalikan rancangan kesihatan dan masakan di RTM.

1 ulasan:

  1. xbaik gaduh2...buang yang keruh...ambil yang jernih...

    BalasPadam