7/23/2009

Farah juara Suara Karaoke HAI-Red Box di Seremban

Wajah ceria wakil dari Seremban ke grand final (dari kiri)...Fayzal (naib juara), Farah (juara) dan Farhan (tempat ketiga) bersama hadiah kemenangan mereka.


Gaya tersendiri dan kemantapan vokal ketika mendendangkan lagu Cinta yang dipopularkan oleh Rossa, berjaya mencuri hati juri dan membawa tuah buat Farah Nabilla Noor Anuar, 24.

Pemegang Diploma Penyiaran dari MIIM yang berasal dari Seremban ini menerima hadiah wang tunai berjumlah RM200 dan baucer Red Box bernilai RM50.

“Saya pernah berada dalam senarai top 25 Akademi Fantasia 6 dan berjaya ke peringkat suku akhir Bintang RTM tahun ini, tapi kemenangan ini amat mengejutkan dan sangat bermakna.

“Pada peringkat separuh akhir nanti, saya akan buat lebih bagus dan tonjolkan kelebihan yang ada pada diri. Saya akan fikir keunikan yang perlu dibuat kerana menyanyi bukan untuk syok sendiri. Saya akan tampilkan kelainan nanti,” ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Naib johan pula diraih oleh Ahmad Fayzal Ayup, 29, yang mempertaruhkan lagu Mengenangmu nyanyian asal Kerispatih. Peserta dari Batu Caves, Selangor itu membawa pulang wang tunai RM150 dan baucer Red Box bernilai RM50.

“Saya pernah masuk pertandingan Bintang RTM pada tahun 2004 dan berjaya ke final. Saya tak pernah putus asa bertanding kerana minat pada nyanyian. Akhirnya saya berjaya juga dapat tempat kedua dan ke separuh akhir. Saya akan buat yang terbaik nanti,” ujarnya yang bekerja sebagai pegawai pentadbiran di sebuah bank.

Anas Farhan Shahruddin yang mendendangkan lagu Sampai Syurga nyanyian Faizal Tahir pula menduduki tempat ketiga. Dia yang berasal dari Petaling Jaya menerima wang tunai RM100.

“Saya sebenarnya ke Seremban untuk majlis kahwin sepupu. Tiba-tiba pula teringat tentang pertandingan ini dan cuba nasib. Tak sangka pula saya dapat tempat kedua dan berjaya ke separuh akhir,” katanya yang beruntung dapat menjalani latihan setiap hari kerana bekerja sebagai Artis Budaya di MBPJ.

Kesemua hadiah wang tunai untuk peringkat suku akhir ini adalah tajaan Jamu Mak Dara Sdn. Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan